Tuesday, April 29, 2008

For the first time in my life...

For the first time in my life, aku buat speech untuk longcall aku. Sepanjang aku hidup ni, tak pernah aku buat speech untuk diri aku sendiri. Sebelum2 ni manala aku ada dijemput untuk buat ucapan. Tapi, kali ni, walaupun speech ni bukan aku yang baca, orang yang bacakan. Tapi...aku yang karang. So, on the 29th of April, 2008...aku telah mencipta sejarah peribadi sebagai ahli keluarga pertama yang menjadi lawyer dan mencipta sejarah dengan mengarang ucapan terima kasih yang panjangnya sebanyak 3 page. Below is my speech which was read this morning, in front of Yang Arif Tuan Vernon Ong Lam Kiat for my call and admission to the bar...



Dengan izin Yang Arif, saya Halmey Bin Rapaee bagi pihak Pempetisyen, Cik Azreen Yas Binti Mohamad Ramli, dan rakan-rakan bijaksana saya Cik Thalha Binti Bachok @ Embok Mok yang mewakili Jabatan Peguam Negara Malaysia, Puan Yusnida Binti Mohd Yusof yang mewakili Majlis Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Negeri Johor.

Yang Arif,

Hari ini telah ditetapkan untuk pendengaran permohonan Pempetisyen untuk diterima masuk dan didaftaraikan sebagai Peguambela & Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Saya berasa bangga dan berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk mengusulkan kepada Mahkamah Yang Mulia ini penerimaan masuk Pempetisyen, Cik Azreen Yas Binti Mohamad Ramli sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Yang Arif,

Pertama sekali, izinkan saya memperkenalkan Pempetisyen kepada Mahkamah Yang Mulia ini. Pempetisyen, Cik Azreen Yas Binti Mohamad Ramli berumur 26 tahun merupakan anak kedua dari tiga orang adik beradik. Beliau merupakan anak jati Johor dan telah dilahirkan pada tanggal 3hb Mac 1982 di Johor Bahru. Bapa beliau adalah seorang ahli perniagaan dan ibu beliau adalah seorang pesara perkhidmatan awam.

Yang Arif,

Pempetisyen menerima pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Tebrau Johor Bahru dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor Bahru. Di sana, beliau melibatkan diri dalam Pasukan Pancaragam sekolah dan memegang jawatan sebagai Bendahari Pasukan Pancaragam. Setelah menamatkan pengajian peringkat menengah dengan kelulusan yang cemerlang, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke peringkat IPT dalam jurusan Undang-Undang dan Undang-Undang Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Semasa di universiti, beliau bergiat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum terutamanya Kelab Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha. Antara rekod yang pernah dicipta oleh beliau semasa bergiat dalam persilatan ialah menyertai persembahan silat di KLCC dan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur yang telah berjaya mencatatkan rekod di dalam Malaysia Book of Records dalam kategori “The Largest Participants in Silat Performance”.

Hasil usaha yang bersungguh-sungguh dan berkat doa dan restu kedua ibu bapa serta dorongan dari rakan-rakan, beliau telah dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada 2006 dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah (Kepujian) pada 2007. Dengan dua gulung ijazah yang diperolehi itu, beliau telah mencipta sejarah peribadi sebagai ahli keluarga pertama yang terlibat dalam profesion guaman.

Seterusnya, berbekalkan keazaman, tekad dan minat yang mendalam dalam bidang perundangan, beliau meneruskan langkah dalam mengejar cita-cita dengan menjalani latihan dalam kamar di firma guaman Tetuan Hazelin & Associates di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Encik Mohd Faizal Bin Ahmad bermula pada 14hb Mei 2007 sehingga 14 Februari 2008. Sepanjang tempoh latihan tersebut, beliau telah diberikan pendedahan yang meluas berkaitan dengan profesion perundangan yang sebenar dan pengalaman yang sangat berharga untuk dipraktikkan pada masa hadapan.

Yang Arif,

Di hari yang bersejarah ini, dengan izin Yang Arif, Pempetisyen ingin memberikan penghargaan yang tidak terhingga dan ucapan terima kasih kepada dua insan yang paling bermakna dan berharga dalam hidup beliau iaitu kedua ibu bapa beliau, Tuan Haji Mohamad Ramli Bin Yasir dan Puan Hajah Hasnah Binti Ali atas segala jasa, pengorbanan, tunjuk ajar serta nasihat dan kasih sayang yang dicurahkan. Tidak lupa juga kepada adik-beradik, saudara-mara, guru-guru terutama Tuan Haji Md. Radzi Bin Haji Hanafi dan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada beliau di kala masa susah dan senang.

Di kesempatan ini juga beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Mohd Faizal Bin Ahmad, pengajar beliau yang tidak pernah kenal erti jemu dan penat dalam mencurahkan segala ilmu dan pengalaman kepada beliau. Akhir sekali, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh warga kerja Tetuan Hazelin & Associates yang telah banyak memberikan tunjuk ajar, dorongan dan bimbingan sepanjang tempoh latihan beliau.

Yang Arif,

Saya percaya bahawa Pempetisyen adalah seorang yang berkelayakan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166). Saya percaya bahawa segala dokumen dan suratcara adalah teratur dan saya juga percaya bahawa rakan-rakan bijaksana saya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap Pempetisyen ini. Oleh yang demikian, saya dengan penuh rasa hormat dan rendah diri memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar Pempetisyen, Cik Azreen Yas Binti Mohamad Ramli diterima masuk dan didaftaraikan sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Mohon Perintah seperti yang dipohon, Yang Arif.

2 comments:

PUAN THALHA : said...

hee.. azreen...dunia ni kecik aje. tak sangka kita satu opis dan jadi kawan ;p

PUAN THALHA : said...

ops. lupa kenalkan diri : saya lah cik thalha ituw. ;p