Tuesday, May 4, 2010

Tak Salah Tolong Orang

Baru-baru ini, ada seorang kawan aku bertanya pada aku, "Kalau orang itu naik pangkat, apa yang kau dapat hasil kau tolong dia?" Aku cuma diam sambil tersenyum. Secara peribadi, pada pendapat aku, tidak salah kalau kita tolong orang. Walaupun suatu masa dulu orang itu pernah buat jahat pada kita, tetapi tidak salah kalau kita tolong orang itu. Mungkin bukan orang itu yang akan menolong kita balik, tetapi Allah akan memberi pertolongan melalui cara yang lain.
God works in mysterious way.The golden rule is WHAT YOU GIVE YOU GET BACK.Kita tak perlu merungut sekiranya pertolongan yang diberi tidak dibalas.Kita wajib mempercayai, kebaikan yang diberi akan dibalas juga suatu hari nanti.Tidak di dunia yang fana ini, insyaAllah akan dibalas di akhirat kelak.Tidak semestinya bila kita tolong orang buat research misalnya, suatu hari nanti orang akan tolong kita buat research juga. Mungkin Allah akan balas dengan memberi sesuatu yang lain. Tidak dinafikan, kadang-kadang kita tidak menyedari pun pemberian Tuhan itu adalah merupakan balasan Tuhan kepada kebaikan yang telah kita berikan.
Seringkali kita mendengar rungutan orang, orang yang betul-betul ikhlas membuat kerja tidak dapat naik pangkat atau naik gaji. Seringkali ditekan dan ditindas. Tetapi orang yang kaki ampu, yang pandai membodek majikan, akan cepat naik pangkat sedangkan orang itu bukannya tahu buat kerja pun. Setiap kali mendengar orang sekeliling berkata-kata sedemikian, aku akan hanya mampu tersenyum. Aku tidak nafikan, itulah realitinya sekarang. Tetapi kepercayaan masih menebal bahawa setiap kebaikan yang dilakukan, akan mendapat balasannya dari Tuhan. Tuhan tidak akan mensia-siakan kebaikan yang kita lakukan. Banyak terdapat ayat-ayat di dalam Al-Quran yang jelas mengatakan bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Maka sebagai seorang Muslim, kita wajib mempercayainya.
Satu perkara yang perlu kita renungkan, antara mendapat kenaikan pangkat dan gaji dengan mendapat kehidupan yang bahagia bersama keluarga di mana anak-anak yang dilahirkan membesar dengan baik dan menjadi orang-orang yang berjaya dalam hidup, yang mana satu yang lebih kita kehendaki?Pada aku, aku pilih yang kedua. Apa gunanya dapat naik pangkat, gaji bertambah tetapi hidup tidak bahagia. Adakah kita boleh yakin yang orang-orang yang kaki ampu dan bodek ni, hidup bahagia? Mungkin juga orang-orang yang kaki ampu ni, mendapat anak yang suka menipu ke...atau pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Kita tak tahu. Rezeki yang diperolehi dengan cara yang betul, halal dan sebagainya, akan mendatangkan hasil yang bagus juga. Rezeki yang diperolehi melalui cara membodek, mengampu superior dan memburukkan rakan sekerja yang lain, belum tentu dapat memberikan kebahagiaan.
Lagi satu perkara, bila buat kebaikan itu kenalah ikhlas. Keikhlasan itu penting Kalau kita buat kebaikan dengan harapan untuk mendapat balasan dari manusia lain, kita akan kecewa. Kenapa?Kerana manusia, jika dengan Allah pun sering kali terlupa untuk berterima kasih, apatah lagi berterima kasih dengan manusia lain?Tetapi Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Allah tidak akan lupa pada setiap kebaikan mahupun keburukan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Allah juga tidak akan pernah lupa untuk memberi balasan pada setiap apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Rahmat Allah terlalu luas tanpa mengira sesiapa pun.Baik pada hambaNya yang kafir mahupun yang beragama Islam.
Kesimpulannya, ikhlaskanlah hati dan percayalah bahawa tidak salah dan tidak rugi menolong orang. Walaupun orang itu tidak pernah menolong kita mahupun orang itu suatu masa dulu pernah menyusahkan kita..berikanlah pertolongan kepadanya apabila dia perlukan. Mungkin dengan pertolonga kita yang sedikit itu, dia akan berubah perngai ke..siapa tahu kerana soal hati ini adalah kerja Tuhan. Buatlah segala kebaikan setakat mana yang mampu..tapi jangan lupa pada pepatah Melayu..BUAT BAIK BERPADA-PADA.Jangan sampai menyusahkan diri sendiri. Selagi mana yang mampu untuk kita menolong, kita tolong.Percayalah, dengan pertolongan yang sedikit itu, insyaAllah akan mendapat balasan yang berlipat kali ganda. Susah untuk kita mencapai tahap ikhlas ni, tapi sejauh mana boleh, cubalah. Dan jangan sekali-kali kita lupa bahawa Allah sentiasa melihat dan mengetahui segala perbuatan kita dan akan membalasnya suatu hari nanti.